Thursday, March 17, 2016

1.0 Pengenalan Industri Francais



Francais merupakan satu perkataan yang berasal daripada perkataan Perancis iaitu “Franco” yang membawa maksud ‘kebebasan’ atau ‘pengecualian dari cukai’. Walaupun istilah francais ini di ambil daripada Bahasa Perancis, namun negara yang mempopular dan mengembangkan sistem perniagaan francais ini adalah Amerika Syarikat. Dari sudut komersial pula, definisi Francais merupakan satu kaedah pemasaran yang berasaskan pemberian hak dan tanggungjawab bagi menjalankan sesuatu perniagaan menggunakan tanda nama atau tanda niaga, sistem, lokasi atau sesuatu kawasan dan jangkamasa yang ditentukan. Manakala dari sudut perundangan, definisi Francais mengikut (Akta Francais,1998) adalah merupakan Kontrak / Perjanjian secara nyata atau tersirat, lisan atau bertulis antara dua orang atau lebih. “Vaughn” mendefinisikan sistem perniagaan francais sebagai satu bentuk pemasaran atau pengagihan di mana sebuah syarikat induk secara lazimnya memberikan kebenaran, hak atau keistimewaan syarikat tersebut kepada seseorang individu atau sebuah syarikat yang secara relatifnya adalah kecil untuk menjalankan perniagaan mengikut tatacara yang ditentukan bagi satu jangkamasa tertentu dan pada satu tempat yang ditentukan dalam proses mengedarkan barang atau perkhidmatan yang sedia wujud.





Sistem perniagaan francais merupakan satu bentuk perniagaan yang melibatkan aktiviti pengagihan dan pemasaran produk atau perkhidmatan melalui perhubungan antara sebuah syarikat induk yang dikenali sebagai ‘Francaisor’ manakala syarikat-syarikat lain yang memohon untuk menjadi ahli di dalam rangkaian perniagaan syarikat induk tersebut dikenali sebagai ‘Francaisi’. Francaisor akan memberikan kebenaran dan persetujuan kendalian perniagaannya kepada francaisi mengikut sistem yang ditentukan oleh francaisor tersebut selama tempoh yang ditentukan olehnya.

Melalui konsep perniagaan francais juga, kebolehpasaran untuk membuat pengagihan produk dan perkhidmatan dijangka akan terus berkembang pada masa akan datang sama ada di kalangan francaisor atau francaisi. Konsep perniagaan francais amat digalakkan di kalangan usahawan yang mempunyai keinginan bagi memulakan sesuatu perniagaan yang ingin diceburi. Industri francais di peringkat global dan Malaysia khususnya dapat memberikan peluang kepada usahawan untuk mengembangkan rangkaian perniagaan francais serta meningkatkan poduktiviti  barangan atau perkhidmatan sama ada di dalam negara mahupun di luar negara bagi keperluan pengguna dan masyarakat.   

Selain itu, sistem perniagaan francais pada masa kini menjadi semakin popular dan dianggap sebagai satu penemuan global yang inovatif dalam strategi pemasaran yang dapat melangkaui keperluan pengguna dan sempadan sesebuah negara. Pengaruh globalisasi dan liberalisasi perniagaan akan dapat memberi kesan dan pengaruh dalam membuka ruang yang luas terutama kepada usahawan yang mengusahakan perniagaan francais untuk mengembangkan jaringan perniagaan secara global bagi menghadapi persaingan, ketepuan pasaran serta dapat memenuhi citarasa setiap pelanggan.

Perniagaan francais bukanlah suatu perkara yang baru di dalam dunia perniagaan kerana ianya telah bermula lama dalam dunia perdagangan. Siatem perniagaan francais ini tidak hanya tertumpu di Amerika Syarikat dan Eropah, malah sistem ini juga telah berkembang secara global di seluruh pelusuk dunia. Namun, pada masa kini, sistem perniagaan francais telah menjadi semakin popular dan sering menjadi pilihan di kalangan usahawan di Malaysia khusunya untuk menjalankan sesebuah perniagaan.

Di Malaysia, sistem perniagaan francais yang telah diiktiraf di bawah akta adalah Sistem Francais Format Perniagaan yang memperuntukkan sesuatu perniagaan yang mempunyai produk, tanda nama atau cap dagangan dan sistem yang digunakan yang lengkap boleh mendaftar dengan Pendaftar Francais Malaysia (ROF) di bawah pengurusan Bahagian Pembangunan Francais, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepnggunaan (KPDNKK). Setelah itu, barulah lesen perniagaan francais akan dikeluarkan kepada usahawan bagi menjalankan perniagaan.

No comments:

Post a Comment