Thursday, March 17, 2016

2.0 Sejarah Pembangunan Industri Francais Pada Peringkat Global dan Malaysia.



Sejarah perkembangan francais di peringkat global pada masa kini menjadi bukti bahawa bentuk perniagaan francais yang sedia ada ketika ini merupakan pekembangan daripada sistem francais yang telah dipelopori bermula sejak tahun 1850-an, kemudian ia mula berkembang pada tahun 1950-an dan 1960-an. Sistem francais yang diperkenalkan mempunyai matlamat iaitu supaya barangan yang dikeluarkan oleh satu syarikat atau kawasan dapat diedar dan dijual keseluruh bahagian lain.

Industri francais pada asalnya telah bermula di negara Eropah sebagai satu sistem perniagaan yang baru dan sistem tersebut kemudiannya telah dikembangkan ke Amerika Syarikat malah perkembangan sistem perniagaan tersebut dianggarkan sejak lebih 100 tahun dahulu.

Secara umumnya, sejarah perkembangan industri francais dapat dibahagikan kepada 3 peringkat utama. Peringkat awal sistem perniagaan francais telah bermula pada abad ke-18 iaitu pada tahun 1840-an di negara Jerman apabila mendapati seorang pembuat bir telah memberikan hak menjual bir miliknya kepada orang lain sebagai perkembangan rangkaian pemasaran produk dan pada ketika inilah pertama kalinya format perniagaan francais digunakan dalam perniagaan beliau sebagai cara untuk mendapatkan kontrak membuat bir tersebut.

Pada tahun 1880-an, industri francais memonopoli bagi memberi perkhidmatan bekalan utiliti di Eropah dan pada tahun 1960-an dan 1970-an pula, sistem perniagaan francais telah berkembang ke dalam industri perhotelan dan makanan segera. Industri francais yang berkebang pesat pada pada masa kini adalah hasil daripada sejarah yang telah bermula sejak dahulu lagi. 

Perkembangan industri francais pada peringkat kedua pula telah bermula di Amerika Syarikat pada tahun 1851 melalui Syarikat Singer Sewing Machine dimana syarikat tersebut telah memberi hak untuk mengedarkan mesin jahit mereka kepada syarikat lain. Memandangkan sistem perniagaan francais ini dilihat telah memberikan impak yang besar dalam dunia perniagaan, maka sistem ini juga telah digunakan oleh syarikat General Motors bagi industri automotif iaitu syarikat yang menjalankan pemasaran kenderaan menerusi pelantikan pengedar francais pada awal tahun 1900-an.



Peringkat ketiga perkembangan industri francais ialah pada abad ke-20 dengan memperlihatkan sejarah perkembangan perniagaan francais dalam pasaran global terus berkembang dengan lebih luas. Peneraju perkembangan perniagaan francais makanan segera telah didahului oleh Restoran A&W Root Bear yang telah membuka sebuah restoran makanan segera pada tahun 1935 yang mula diperkenalkan oleh Howard Deering Johnson yang bekerjasama dengan Regiland Sprague untuk menjalankan perniagaan. Demi mengembangkan usaha yang dilakukan oleh mereka, syarikat tersebut telah memulakan operasi perniagaannya dengan menggunakan format perniagaan francais dan perniagaan tersebut kini terus berkembang dan bermula dari situlah perniagaan francais yang ada pada masa kini terus berkembang menjadi rangkaian produk dan perkhidmatan makanan segera yang berjenama.

Senario perniagaan francais ini diteruskan lagi dengan penubuhan Restoran McDonald’s yang ditubuhkan pada tahun 1940-an oleh adik beradik Dick dan McDonald yang telah mewujudkan sebuah restoran yang menawarkan sistem perkhidmatan restoran makanan segera. Pada tahun 1953 restoran tersebut telah menggunakan format perniagaan francais dan Neil Fox dikatakan sebagai pembeli jenama pertama dan diikuti oleh francaisi yang lain. Suatu penemuan yang dianggap klasik oleh Ray Kroc, beliau telah membeli aset McDonald’s tersebut pada tahun 1961 daripada adik beradik McDonald’s dan meneruskan perniagaan tersebut hingga berjaya sehingga kini iaitu dengan hanya membangunkan restoran makanan segera berjenama Mc’Donalds.

Berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat, 96 peratus daripada rakyat Amerika Syarikat telah mengunjungi Restoran Mc’Donalds tersebut sekurang-kurangnya sekali. Sehingga kini, Restoran Mc’Donalds telah banyak dibuka diseluruh pelusuk dunia melalui sistem perniagaan francais yang dilakukan melalui perniagaan tersebut.



Pada tahun 1990, perniagaan francais telah bermula di Amerika Syarikat terus berkembang dan perkembangannya meluas ke hingga seluruh negara di dunia. Perkembangan perniagaan francais ketika itu meliputi hampir pelbagai jenis perniagaan seperti restoran makanan segera, perkhidmatan, pelancongan dan perhotelan, perniagaan sektor pembinaan, hiburan, sukan dan sebagainya.

Ternyata melalui sistem perniagaan francais di Amerika Syarikat yang berkembang pesat selepas Perang Dunia Ke-2 ini lantaran daripada terdapat peningkatan semangat keusahawanan dan permintaan yang semakin popular terhadap barangan dan perkhidmatan yang berkualiti dengan tawaran harga yang berpatutan dan mampu dimiliki serta dapat dirasai oleh masyarakat. Berdasarkan kajian yang dilakukan, 35 peratus daripada nilai jualan runcit di Amerika Syarikat merupakan jualan yang terhasil menerusi rangkaian yang menggunakan sistem perniagaan francais.

Menerusi kajian yang sama juga, didapati bahawa jualan tahunan daripada 2,200 syarikat francaisor dengan lebih 550,000 francaisi di seluruh Amerika Syarikat mencatatkan jumlah tahunan sebanyak AS$800 bilion. Manakala berdasarkan kajian Persekutuan Francais Eropah pula didapati sebanyak 3,888 syarikat francaisor yang menggunakan sistem perniagaan francais di 13 buah negara di Eropah yang telah menjadi ahli persekutuan tersebut dengan bilangan francaisi menjangkau sebanyak 176,432 francaisor yang dengan menyumbang pendapatan jualan sebanyak kira-kira RM400 bilion setahun.

Singapura, terdapat bilangan perniagaan francais yang hampir sama dengan New Zealand. Kerajaan Singapura menerusi Lembaga Produktiviti dan Piawaian telah membantu bagi membangun dan melancarkan sebanyak 56 produk francais tempatan baru yang diwakili oleh 460 francaisi negera tersebut manakala Lembaga Pembangunan Perdagangan Singapura pula aktif bagi membawa perniagaan francais di negara tersebut ke pasaran antarabangsa.

Di negara Jepun pula, terdapat hampir 890 francaisor dengan lebih 190,000 francaisi dengan kutipan nilai jualan berjumlah kira-kira RM375 bilion setahun, manakala di Australia 747 francaisor dengan 46,100 francaisi mendapati nilai jualan tahunan dianggarkan RM153 bilion berbanding di New Zealand yang mempunyai sekitar 4 juta penduduk dengan terdapatnya 250 francaisor dan 5,000 francaisi dapat menyumbangkan nilai jualan sebanyak RM13 bilion setahun.

Sistem perniagaan francais di Malaysia pada asalnya mula berkembang sejak 60 tahun yang lalu menerusi syarikat produk barangan berjenama seperti Singer, Bata, jenama stesen minyak, pengedar automobile dan perhotelan. Namun sistem perniagaan francais di Malaysia semakin bertumbuh pesat dengan kehadiran dan kewujudan restoran-restoran makanan segera berjenama dari luar negara yang bermula pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an seperti  jenama KFC, A&W Root Bear, McDonald’s, Burger King dan sebagainya. Restoran makanan segera ini telah berkembang pesat ke seluruh negara di Malaysia melalui sistem perniagaan francais sehinggakan masyarakat di Malaysia menganggap sistem berkenaan hanya mempunyai keistimewaan kepada sektor-sektor tersebut.

Senario perniagaan francais ini berterusan dengan terdapatnya pertumbuhan lebih banyak produk dan perkhidmatan yang menggunakan pendekatan sistem perniagaan francais termasuklah dalam sektor automotif seperti jualan kenderaan, cawangan pusat servis, perkhidmatan tayar, jualan alat ganti dan aksesori. Selain itu terdapat juga amalan perniagaan francais seperti kedai buku, butik fesyen dan pakaian, kedai runcit dan borong, pusat kosmetik, agensi pelancongan dan sewaan kenderaan, kedai barangan kemas, klinik dan farmasi serta perkhidmatan penyeleggaraan, kebersihan dan lain-lain. Justeru, sistem perniagaan francais ini adalah salah satu cara yang paling popular dan efektif untuk mengembangkan perniagaan, sama ada menjual produk atau menawarkan perkhidmatan di dalam mahupun luar negara.

Di Malaysia, program pembangunan francais telah diperkenalkan pada tahun 1992 di bawah Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri dan merupakan salah satu sumber ekonomi negara yang mampu memberikan nilai tambah ke arah merealisasikan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9) pada ketika itu. Selain itu, program yang dilakukan didorong oleh faktor kestabilan politik dan pengukuhan ekonomi negara, Malaysia dilihat sangat berpotensi untuk mengembangkan dan membangunkan perniagaan francais. Malah, pihak kerajaan telah menyedari akan kepentingan industri francais di Malaysia. Sehingga kini kerajaan sedang giat memperkasakan strategi pelaksanaan dan mensarankan agar industri francais menjadi pilihan utama khususnya bagi usahawan yang berhasrat untuk menceburi bidang perniagaan di Malaysia. Sehingga kini, dianggarkan sejumlah 689 perniagaan francais telah didaftarkan di Malaysia dengan jumlah 491 jenis produk tempatan.

Dalam membangunkan industri francais di Malaysia, pelbagai pendekatan proaktif telah diambil oleh pihak kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk membantu membangunkan sektor industri francais antaranya melalui penyediaan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN). Pelan ini merupakan strategi dan terdapat pelbagai program di yang di rancang secara menyeluruh bagi menyokong pertumbuhan perniagaan francais serta dapat merealisasikan aspirasi PIPFN diwujudkan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat francais di Asia Tenggara dan Timut Tengah menjelang tahun 2020. Penyediaan PIPFN merupakan pelan hala tuju startegik yang menyeluruh bagi industri francais di Malaysia. Pelan induk ini menggariskan tentang hala tuju industri dengan matlamat yang jelas bagi merapatkan jurang industri francais antara Malaysia dengan negara lain seperti Australia dan ianya juga bertujuan untuk mencapai hasrat bagi menempatkan Malaysia sebagai pusat francais di rantau ini.

No comments:

Post a Comment